Khasiat Serai

Serai

Di Malaysia serai merupakan tanaman yang paling mudah ditemui ditanam di halaman rumah kerana pelbagai kegunaannya dalam masakan Melayu dan Indonesia. Ia merupakan sejenis tanaman daripada keluarga rumput yang mempunyai aroma yang kuat dan wangi. Serai tumbuh dalam satu rumpun yang lebat. Ia membiak dengan pecahan rizom dengan kadar pertumbuhan yang cepat. Serai mempunyai batang berwarna putih, sesetengah variasi mempunyai batang yang berwarna putih keunguan atau kemerahan. Daunnya berbentuk tirus dengan panjang lebih kurang 50 hingga 100 cm dan lebar lebih kurang 2 cm. Walaupun serai boleh mengeluarkan bunga namun di Malaysia ia sangat jarang ditemui mengeluarkan bunga. 

Kegunaan

Serai banyak digunakan dalam masakan Melayu, Indonesia dan Thailand. Antara masakan yang menggunakan serai ialah tomyam, rendang dan kerabu. Selain itu serai juga digunakan dalam rawatan aromaterapi. Minyak pati yang diekstrak daripada serai juga digunakan sebagai pewangi untuk kosmetik, syampu dan sabun. Serai mengandungi kandungan sitral sebanyak lebih kurang 65 hingga 85%. Antara sebatian lain yang terdapat dalam serai ialah nalol, geraniol, sitronelal, sitronenol, farnesol, farnesal, limonena dan nerol.

Air serai untuk bantu awat kanser

Serai juga menganfungi sitral yang boleh menggalakkan sel-sel kanser membunuh diri (apoptosis). 2-3 batang serai dihiris dan dimasukkan ke dalam satu jag air panas, ditutup dan dibiarkan semalaman. Air serai diminum sikit demi sikit keesokan hari. Ulang setiap hari sebagai rawatan tambahan bagi pengidap kanser. Dikatakan ubat chemo menjadi lebih berkesan apabila minuman air serai diamalkan 1-2 minggu sebelum rawatan chemo.

Buah dan Daun Mulberi

Mulberi

Mulberi merupakan tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan. Ia merupakan sejenis pokok kecil dengan ketinggian antara 1 hingga 6 meter. Tergolong dalam genus Morus, terdapat pelbagai jenis mulberi antaranya mulberi hitam (morus nigra), mulberi putih (morus alba), mulberi merah (morus rubra). Buahnya yang masih muda agak bergetah. Elakkan makan kerana walaupun getah tidak kuat, ia masih mempunyai ciri halusigenik (seperti buah-buah muda yang lain contohnya buah mangga). Buah yang masak tidak lagi bergetah dan tidak lagi mengandungi ciri halusigenik.

Mulberi boleh membiak melalui dua cara pembiakan utama iaitu biji benih dan keratan batang. Walaupun kaedah keratan batang lebih mudah menghasilkan anak benih berbanding biji benih, anak pokok yang dihasilkan dengan biji benih lebih sihat dan cantik bentuknya berbanding dengan pembiakan melalui keratan batang. 

Kegunaan

Buah mulberi yang manis dan isinya yang lembut berair apabila masak sangat sesuai dipelbagaikan ke dalam masakan seperti pai, tat, kek dan juga dijadikan jus. Ia juga boleh dimakan begitu sahaja kerana rasanya yang manis dan lazat. Mulberi hitam mempunyai rasa dan bau yang paling kuat. Ini menyebabkan ia digunakan secara komersial untuk menghasilkan perisa dan pewarna berasaskan mulberi.

Daun mulberi, terutamanya mulberi putih, juga dikenali sebagai daun kertau merupakan sumber makanan utama kepada ulat sutera dalam industri pembuatan sutera. 

Daun mulberi yang tua boleh dijadikan teh dan berkhasiat untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Selain itu ia juga mampu mengurangkan sakit otot terutamanya pada lutut.

Daun Kaduk

Kaduk

Daun kaduk seakan-akan daun sirih. Sangat enak dibuat ulam, hanya perlu dicelur sebentar saja kerana jika lama dicelur keharumannya kurang. Kalau saya, saya lebih suka buat kerabu kaduk di mana bahan-bahannya adalah seperti berikut : Daun kaduk dihiris nipis sebanyak mana yang diperlukan kemudian ramas daun dengan 2 sudu garam, tujuannya untuk mengurangkan rasa pijar daun kaduk. Setelah diramas basuh daun itu. Masukkan 1 tin kecil sardin, 1 ulas bawang besar dihiris nipis, cabai melaka dipotong kecil atau pun boleh ditumbuk seperti sambal,kelapa parut, garam serta serbuk perasa. Kesemua bahan tadi digaul rata. Anda akan dapati aroma kerabu kaduk akan menyebabkan selera makan anda naik. Selamat mencuba...

Air yang direbus dengan akar pokok kaduk dapat melawaskan kencing. Daunnya pula mujarab untuk merawat demam malaria dengan cara meminum air rebusannya. Air rebusan itu juga berkhasiat bagi melegakan batuk-batuk, selesema, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang. Daunnya yang ditumbuk pula boleh dijadikan ubat panau dengan cara menambal pada bahagian panau itu.

Daun Tujuh Jarom

Tumbuhan daripada keluarga kaktus ini mungkin satu-satunya kaktus yang mempunyai daun yang sebenar. Ia merupakan genus paling primitif dalam keluarga kaktus, jenis yang dipanggil pereskia. Berasal dari korea tapi boleh didapati dengan mudah di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Malah ia merupakan tumbuhan yang agak lasak dan boleh beradaptasi dengan hampir semua iklim kecuali tundra. Keadaan optimum untuk pertumbuhannya adalah sinar matahari yang terang dan iklim tropika. Ia adalah tumbuhan yang mudah membiak, mudah ditanam dengan kaedah cantas dan cucuk.

Ia juga boleh membiak melalui biji benih. Daunnya mudah gugur jika terdedah dengan keadaan kering namun mudah pula tumbuh semula apabila air mencukupi. Terdapat 15-20 spesis pereskia terutamanya dari Afrika Selatan, Amerika Tengah dan India Barat. Sepanjang batangnya terdapat tujuh batang duri yang meruncing tajam. Kerana itu ia juga dipanggil jarum tujuh bilah. Daunnya yang rangup boleh dijadikan ulam atau salad. 

Kegunaan 

Pereskia dikatakan dapat merawat kanser terutamanya kanser kolon (usus besar), kanser hidung dan juga kanser lain. Terdapat 3 cara menggunakannya, pertama dengan memasukkan lebih kurang 2 helai daunnya ke dalam air panas dan dijadikan teh, airnya diminum. Kedua daunnya dimakan sebagai ulam sebanyak 1-3 helai setiap hari. Ketiga dengan cara mengisar daunnya hingga lumat, campurkan air dan jusnya diminum. Anda dilarang daripafa meminum sebarang jenis minuman teh selepas mengambil herba ini kerana ia dikatakan dapat menghapuskan segala khasiat dalam badan kita. Kajian terhadap kandungan kimia yang terdapat dalam pereskia dan tindak balas sel kanser terhadapnya boleh didapati di http://www.moste.gov.my/kstas/NSFWorkshop/NSF/nsf%5CPHAR18.DOC.  Ia juga dikatakan dapat mengubat darah tinggi dan kencing manis.

Comments

11.10.2014 09:41

mariam antonio

saya sangat meminati membaca tentang herbal.Sekarang ini saya mengamalkan minum minuman herbal dengan merebus daun durian salak,stevia,balik angin,tapak gajah dan daun mangis .fibroid saya mengecil.